MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID  PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM)  BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.
Oleh:
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi  Felow Manhal PMRAM 2010
“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha  Pengasihani”
        Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah  menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki  Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia  (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’.  Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola  sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut  pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak  bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah  dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.
        Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran  dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat  memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan  yang telah  dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara  ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum  perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti  perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan  maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan  tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:
Kesilapan Pertama: Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak
Dalam muqaddimah rencana tersebut,  pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur  (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah  Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah  (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk  meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi  dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah  menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah  al-Nisaa’ dengan kata beliau:
“Pada peringkat kedua, Allah SWT  menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara  kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika  mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka  bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”
“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya  dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa  arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji  dan lahir daripada perbuatan syaitan.”
         Pada hakikatnya  pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari  sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama  dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang  mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap  sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat  besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga  untuk aktiviti lain seumpama  tujuan perubatan oleh masyarakat pada  ketika itu selain daripada minuman.
      Oleh itu pengharaman  sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90.  Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan  untuk arak  tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun  pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi  ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara  jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain  seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan  oleh al-Quran.
Kesilapan Kedua: Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi (dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.
Pengarang berkata:
“Pernah  berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat  menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para  sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal  dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas  bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau  memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”
        Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat.  Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah  dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan  Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya  (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan  untuk memahami nas).
      Ketiga, Rasulullah menyuruh para  sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu  bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah  arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan  dengan pengharaman arak.
      Keempat, hukum bukan Islam meminum  arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari  akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para  ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat,  zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul  (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau  mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis  Rasulullah s.a.w.
      Cuma perkara yang membenarkan mereka  meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang  membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan  aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti  meminum arak dan  memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam  itu tidak boleh  menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang  tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia.  Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana  diharamkan oleh seluruh agama di dunia.(Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami,  Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)
Seterusnya pengarang berkata:
“Namun,  mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran  umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan  secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus  dan tersembunyi.
Pengajaran  dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat  sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan  Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”
Kemudian pengarang berkata lagi:
“Prinsip itu terkandung dalam siasah  syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada  membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya  bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan  dan kepentingan umum).”
       Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang  dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes  minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi  supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya,  adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia  atau diamalkan secara baik?
      Apa yang terjadi adalah  berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam  rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri  arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam  hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal  terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual  secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus  dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti  perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?
       Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat  dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng  daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu  mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin  menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat?  Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan  keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya  tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang  lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.
Kesilapan Ketiga: Pengarang silap menyebut kaedah syara’
        Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah  melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:
“Malah  dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus  adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh  melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”
Kaedah yang sebenarnya  adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum  (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada  bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).
     Bagi sesiapa yang mempelajari  Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301,  Maktabah Wahbah, Kaherah) akan  memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa  arab berbunyi:
"دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة"
“Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus”
"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
“Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum”
"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar”
"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
“Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum”
“Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus”
"ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة"
“Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum”
"يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى"
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar”
"يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام"
“Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum”
         Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama  iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan  kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih  besar dan yang   melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya  menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr.  Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah) 
Pengarang berkata:
“Pada masa  pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai  import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil  kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan  untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.
Ini  menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan  najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah  mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada  bahaya yang lebih besar.”
      Untuk pengetahuan pembaca, kaedah  yang digariskan adalah kaedah “menanggung bahaya yang lebih ringan  daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih  kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina  Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan  bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan  kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang  agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.
       Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi  kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan  darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti  perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada  kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.
       Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang  sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan  aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa  mengorban harta, masa dan tenaga kerana  risiko pengorbanan itu  lebih  ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji  lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang  tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut  oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar  tidak terjebak dengan arak dan judi.
Kesilapan Keempat: Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi
      Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama  rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan  mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan  perniagaan arak dalam negara Islam.
    Maaf, saya ingin katakan  bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan  baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan  dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun  banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah  tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut  dalam rencana tersebut:
“Inilah persepsi yang sepatutnya  difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan  lesen judi. Kerajaan juga tidak  menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya  berjudi dan meminum arak.”
“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang  bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah  dalam kehidupan mereka. Lagi pun  undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan  fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan  umat Islam dalam kes judi dan arak.”
       Sekali lagi ingin  saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian  kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan  isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam  negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun  Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku  kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di  kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.
        Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan  bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah  amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti  arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin  negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.
         Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut  adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak  menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh  tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.
        Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan  ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan  mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi  kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.
        Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan  Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada  golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur  kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon  ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu  A’lam.

0 comments:
Post a Comment